PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada 19 hingga 28 Mac ini, memberikan perencah ala popular dalam industri buku dalam bahasa Melayu apabila syarikat penerbit buku yang menyertainya turut menjemput pengarang luar dan memperkenalkan genre baru yang menjadi kegemaran baru di negara jiran. Ini membuktikan industri buku bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam perkembangan industri buku negara secara keseluruhan, sekali gus membuka peluang kepada penerbit untuk mempelbagaikan genre buku Melayu yang sebelum ini terpalit dengan stigma novel cinta. Perkembangan itu turut menarik perhatian penerbit buku di PBAKL 2010 termasuk KarnaDya Solutions Sdn Bhd (KarnaDya) yang menyemarakkan semangat penulis tempatan untuk menghasilkan novel genre fiksyen jenayah apabila menjemput pengarang luar yang sudah membuktikan kejayaannya dalam genre berkenaan.
Pengurus Pemasarannya, Faiz Al-Shahab, berkata KarnaDya menjemput novelis terkenal Amerika Syarikat (AS), Laura Caldwell untuk berkongsi rahsia kejayaannya dalam penulisan novel genre berkenaan dengan pengunjung PBAKL 2010, sekali gus mengorak langkah untuk mengembangkan genre terbabit.
“Beliau yang juga peguam di Chicago banyak terbabit dalam penulisan berunsur jenayah serta thriller hasil daripada pengalamannya dalam dunia guaman, bertemu dengan peminat genre fiksyen jenayah pada 20 Mac lalu.
“Karya fiksyen jenayah yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu seperti Bukan Cinta Glamor dan Cuti-Cuti Cinta juga mendapat sambutan baik daripada pembaca tempatan,” katanya.
Berdasarkan penerimaan pembaca terhadap novel chicklit yang diterjemah dari AS, Faiz melahirkan keyakinan bahawa sekiranya karya terjemahan boleh mendapat tempat di hati pembaca tempatan, karya yang dihasilkan penulis tempatan dengan latar yang dekat dengan pembaca juga boleh menikmati kejayaan yang sama.
“Novel fiksyen jenayah berpotensi besar untuk berkembang dalam industri buku tanah air berdasarkan kemampuan genre itu menarik peminat baru, selain mempunyai kelompok peminat yang tersendiri.
“Sudah tiba masanya penulis tempatan melakukan eksperimen dengan menghasilkan karya fiksyen jenayah kerana negara kita kekurangan penulis fiksyen jenayah yang dapat menulis dengan baik,” katanya kepada Sastera di PBAKL 2010,Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada pesta buku kali ini, KarnaDya yang memenangi anugerah gerai jualan tercantik pada 2008 dan 2009, tampil dengan konsep KarnaDya Walk yang lebih santai bagi memikat lebih ramai pengunjung singgah dan berbelanja di gerai mereka.
Sementara itu, Pengerusi Syarikat Penerbitan Buku PTS (PTS), Ainon Mohd, berkata pihaknya memperkenalkan genre jurnal peribadi (pelit) yang sudah popular di negara jiran,Indonesia, sekali gus usaha memperluaskan cabang penulisan yang boleh diterima pembaca tempatan itu dimanfaatkan untuk memperkembangkan buku bahasa Melayu.
“Percubaan PTS One mengikut jejak langkah penerbit di ternyata mendapat maklum balas yang baik daripada pembaca apabila kita memperkenalkan dua buku pelit di pesta buku ini, iaitu Diari Si Ratu Air Mata karya Natasha Effyzal dan Diari Mat Despatch (Bahruddin Bekri).
“Saya percaya genre ini berupaya menarik minat pembaca khususnya golongan muda yang dahagakan karya kreatif yang santai yang boleh dibaca untuk menenangkan perasaan dalam rutin seharian,” katanya.
Beliau yang mensasarkan jualan sebanyak 700,000 buah buku pada PBAKL 2010, yakin bahawa pendekatan yang digunakan syarikatnya itu dapat meluaskan pasaran buku tempatan yang sentiasa dihimpit masalah kekurangan genre menarik.
“Kita yakin karya yang baik seharusnya seiring dengan konsep kulit buku yang menarik, sekali gus mendorong PTS menggunakan konsep kulit buku yang lebih kreatif dan berjiwa muda untuk karya pelit,” katanya.
PTS juga tidak ketinggalan mempromosikan buku terbitannya dengan menyewa sebanyak 15 gerai tahun ini bagi memudahkan pengunjung bergerak dan memilih buku PTS dalam keadaan yang selesa.
Friday, March 26, 2010
Sastera Hari ini :Dunia Buku: 'Perencah' popular Pesta Buku KL 2010
Novelis fiksyen jenayah dari Amerika Syarikat, jurnal peribadi jadi genre baru dalam industri buku
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment